Friday, June 29, 2012

Bukan Mudah Menjadi Aku

Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah di atas kesempatan yang diberiNya. Tiada mampu aku menulis di sini tanpa izinNya. Alhamdulillahi rabbil 'alamin. Alhamdulillah.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Semoga yang sedang membaca penulisan saya ini sihat-sihat belaka insyaAllah.

Saya hanyalah seorang hamba Allah yang masih penuh dengan kelemahan. InsyaAllah, saya belajar satu per satu dari kesilapan saya agar dipermudahkan urusan saya duniawi mahupun ukhrawi. Saya bukanlah seorang yang hebat dari segi agamanya apatah pula akhlaknya. Saya juga pernah melakukan kesilapan yang ada kalanya membuat saya sukar untuk memaafkan diri saya sendiri. Allahu, lemah semangat diri setiap kali mengenangkan dosa-dosa silam. Astaghfirullahal'azim. Hinanya diri ini sebagai umat Rasulullah saw. Terasa tidak layak untuk bersemuka dengan sesiapa pun lagi. Allahu.. Namun, hendaklah sama-sama kita ingat bahawa proses kemaafan bermula dengan memaafkan diri sendiri terlebih dahulu.

Alhamdulillahi rabbil 'alamin. Tanpa diduga, dalam kesulitan itu saya temui kekuatan. Dan sesungguhnya, tiada mampu bagi saya mendapatinya tanpa izin dan redha Allah swt. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.

Bila terdetik di hati ini untuk berubah, terasa seakan-akan dipimpin tangan dan bahu ini setelah jatuh tersungkur. Biarpun ianya sakit, Alhamdulillah terubat juga akhirnya.

Saya menulis di sini bukan untuk mencari nama. Sebaliknya, sekadar berkongsi rasa cinta yang tidak terhingga kepada Maha Pencipta dan Maha Pengampun.

Suka cita ingin saya kongsikan kedamaian hati yang tak mungkin dapat saya kecapi tanpa izinNya. Ada yang bertanya mengapa dicari damai ini? Alhamdulillah, mungkin sudah serik menyeksa diri dengan timbunan dosa, lantas tergerak hati untuk menyegerakan bertaubat kepadaNya.

Ada ketikanya kesabaran saya sering diduga. Dicaci dimaki itu perkara biasa. Dilabelkan sebagai 'bajet alim' 'bajet ustazah' itu juga perkara biasa. Saya redha akan kelakuan mereka ini terhadap saya. Malah saya berterima kasih kepada mereka kerana mengingatkan saya bahawa saya bukan seorang yang sempurna dan sering kali melakukan kesilapan juga. Alhamdulillah.

Jangan bersedih hati bagi mereka yang ditimpa musibah. Carilah kekuatan dari kelemahan itu. Bagi mengubat hati yang berduka, ingatlah petikan ayat ini walau di mana jua kalian berada. Allah berfirman kepada Malaikat Jibril, "Pergilah kepada hambaKu lalu timpakanlah berbagai ujian kepadanya kerana Aku ingin mendengar rintihannya".

Allahu Akbar. Betapanya Allah sayangkan kita Allah ingin kita sentiasa dekat dengannya. Namun hakikatnya? Kita sering kali menjauhkan diri daripadaNya. Kita membuatNya murka. Astaghfirullahal'azim. Malu rasa diri ini kepadaNya yang telah menciptakan diri ini hingga diberikan segala keperluan sedangkan tidak bersyukur kerana tidak dipenuhi kehendak yang lain.

Dan kita apabila ditimpa ujian sering kali merungut. Apabila dilanda sedikit masalah, seringkali membiarkan marah menguasai diri. Termasuklah diri saya sendiri. Oleh itu, saya harus belajar bersabar. Dari siapa? Dari Yang Maha Penyabar. Sepertimana dipetik dari hadis riwayat Muslim; Dari Abdullah bin Qais r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda: "Tidak ada yang lebih sabar mendengar ejekan, selain daripada Allah swt. Orang-orang kafir mengatakanNya berbilang (banyak atau bersekutu), atau mereka mengangkat anak bagiNya. Namun begitu Allah Taala tetap memberi mereka rezeki, memaafkan mereka dan memberikan apa yang mereka pinta".

Kita lihat ramai orang kafir yang hidupnya kaya-raya. Namun, dari siapa datangnya semua itu? Dengan kesempatan yang ada ini, bagi kita yang sedar dari mana datangnya kesenangan hidup kita sewajarnya kita bersyukur kepada Allah swt. Allah dah bagi, terima, jangan bersungut, jangan pula melawanNya. Ingatlah, bila-bila sahaja Allah boleh menarik nikmat pemberianNya. Wallahua'lam.

Berbalik kepada tajuk saya "Bukan Mudah Menjadi Aku" sebenarnya ianya suatu tajuk yang universal. Bukan untuk bermegah diri dan bukan pula untuk meraih simpati. Setiap kita punya kesusahan kerana setiap kita ditimpa ujian yang berbeza-beza, dengan izinNya.

Masih banyak yang harus saya pelajari dalam mendalami ilmu agama ini. Namun, berkat doa setiap insan yang mungkin ada antaranya mendoakan saya dalam sembunyi, Alhamdulillah terima kasih sangat-sangat. Semoga Allah swt membalas jasa kalian.

Bagi yang dahulunya pernah bermusuh dengan saya, saya mohon beribu kemaafan. Andai ingin menuntutnya, tuntutlah sekarang sementara saya masih hidup di dunia ini kerana apabila melangkah alam akhirat, saya berharap sangat saya tidak ada terhutang apa-apa dosa mahupun wang ringgit dengan sesiapa. Wallahua'lam.

Terima kasih bagi yang sudi membaca post saya kali ini hingga habis. Alhamdulillah. Dakaplah Islam seerat-eratnya agar hidup dan matimu selamanya dalam Islam. InsyaAllah. Andai kata kau terjatuh, bangun semula, jatuh lagi, bangun lagi, jangan pernah berhenti. Ingatlah, kita bukan diuji sehari dua sahaja tetapi buat selama mana hidup kita di dunia ini. Dan ingat, jangan sesekali berputus asa dengan rahmat Allah swt. DOA itu senjata orang mukmin. Wallahua'lam. Kenang daku dalam do'amu. Wabillahi taufiq walhidayah. Wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Sambutlah salamku. Alhamdulillah.