Saturday, September 28, 2013

30 Yang Pertama

1.   Orang yang pertama menulis Bismillah : Nabi Sulaiman AS. 

2.   Orang yang pertama minum air zamzam : Nabi Ismail AS. 

3.   Orang yang pertama berkhatan :
Nabi Ibrahim AS. 

4.   Orang yang pertama diberikan pakaian pada hari qiamat : Nabi Ibrahim AS. 

5.   Orang yang pertama dipanggil oleh Allah pada hari qiamat : Nabi Adam AS. 

6.   Orang yang pertama mengerjakan saie antara Safa dan Marwah : Sayyidatina Hajar (Ibu Nabi Ismail AS). 

7.   Orang yang pertama dibangkitkan pada hari qiamat : Nabi Muhammad SAW. 

8.   Orang yang pertama menjadi khalifah Islam : Abu Bakar As Siddiq RA. 

9.   Orang yang pertama menggunakan tarikh hijrah : Umar bin Al-Khattab RA. 

10. Orang yang pertama meletakkah jawatan khalifah dalam Islam : Al-Hasan bin Ali RA. 

11. Orang yang pertama menyusukan Nabi SAW : Thuwaibah RA. 

12. Orang yang pertama syahid dalam Islam dari kalangan lelaki : Al-Harith bin Abi Halah RA. 

13. Orang yang pertama syahid dalam Islam dari kalangan wanita : Sumayyah binti Khabbat RA. 

14. Orang yang pertama menulis hadis di dalam kitab / lembaran : Abdullah bin Amru bin Al-Ash RA. 

15. Orang yang pertama memanah dalam perjuangan fisabilillah : Saad bin Abi Waqqas RA. 

16. Orang yang pertama menjadi muazzin dan melaungkan adzan : Bilal bin Rabah RA. 

17. Orang yang pertama bersembahyang dengan Rasulullah SAW : Ali bin Abi Tholib RA. 

18. Orang yang pertama membuat minbar masjid Nabi SAW : Tamim Ad-dary RA. 

19. Orang yang pertama menghunuskan pedang dalam perjuangan fisabilillah : Az-Zubair bin Al-Awwam RA. 

20. Orang yang pertama menulis sirah Nabi SAW : Ibban bin Othman bin Affan RA. 

21. Orang yang pertama beriman dengan Nabi SAW : Khadijah binti Khuwailid RA. 

22. Orang yang pertama mengasaskan usul fiqh : Imam Syafei RH. 

23. Orang yang pertama membina penjara dalam Islam : Ali bin Abi Tholib RA. 

24. Orang yang pertama menjadi raja dalam Islam : Muawiyah bin Abi Sufyan RA. 

25. Orang yang pertama membuat perpustakaan awam : Harun Ar-Rasyid RH. 

26. Orang yang pertama mengadakan baitul mal : Umar Al-Khattab RA. 

27. Orang yang pertama menghafal Al-Qur'an selepas Rasulullah SAW : Ali bn Abi Tholib RA.   

28. Orang yang pertama membina menara di Masjidil Haram Mekah : Khalifah Abu Ja'far Al-Mansur RH. 

29. Orang yang pertama digelar Al-Muqry : Mus'ab bin Umair RA. 

30. Orang yang pertama masuk ke dalam syurga : Nabi Muhammad SAW.  

Monday, July 29, 2013

Tidak mengapa bersedih.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sahabat yang saya kasihi, diharapkan anda sihat sahaja insyaAllah. Alhamdulillah Allah masih memberikan kita nafas dan kekuatan untuk beribadah di bulan Ramadhan ini. Siapa tahu mungkin tersembunyi beribu-ribu hikmah untuk anda dan juga saya pada bulan mulia kali ini? Senyum.

Sahabat yang saya kasihi, apa khabar iman anda hari ini? Pagi anda bermula dengan subuh yang baik kah? Sudahkah anda memuji-muji Pencipta kita? Sudahkah anda berselawat ke atas junjungan besar kita?

Sahabat yang saya kasihi, apa khabar pula hati anda hari ini? Sedang berlonjak kegembiraankah ia? Sedang menangis kesedihankah ia? Atau...sudah hilang dalam kekeliruankah ia?

Hati. Seketul daging yang punya bermacam ragam membuat empunya diri galau akan sifatnya yang mudah berubah-ubah.

Ada ketikanya hati ini mampu bersabar, ada ketikanya kesabarannya lesap tiba-tiba.
Ada ketikanya hati ini lembut dan ada ketikanya ia keras.
Ada ketikanya hati ini sangat tawadhu' dan ada ketikanya ia menjadi sombong lagi angkuh.

“Dan Kami bolak-balikkan hati mereka dan penglihatan mereka.” Surah Al-An’am: 110

Sahabat yang saya kasihi, kali ini saya ingin menyentuh perihal hati yang bersedih. Hati yang terlalu sensitif sehingga mudah-mudah saja dicuit oleh badai ujian. Bukan kerana hati manusia hanya kenal erti kesedihan semata-mata namun....mungkin kerana inilah perihal yang lebih dekat akan saya, yang lebih akrab dengan saya, yang lebih sebati dalam diri saya untuk lebih mudah saya bicarakan. Boleh jadi ia sesuatu kelemahan yang menjauhkan seseorang daripada Allah. Walaubagaimanapun, bagi yang bijak mencari hikmahnya, ia menjadi suatu punca untuk dirinya lebih dekat kepada Allah.

Manusia memang suka merancang. 'Perancangan' kita boleh saja menjadi perisai kalau-kalau kita diserang, keselesaan pada masa akan datang, dan boleh saja ianya menjadi sedekah untuk dikongsi bersama-sama. Terpulang kepada sahabat sekalian menafsirnya sendiri.

Sahabat, semua perancangan kita semestinya dalam satu tujuan iaitu mencari kebahagiaan. Seperti ibubapa yang mula merancang masa depan anak-anak mereka. Seperti pelajar yang mula memasang angan-angan ingin ke mana. Seperti orang tua yang masih berusaha keras mengumpul wang simpanan untuk melaksanakan rukun Islam kelima. Semuanya ingin bahagia, biarpun demi diri sendiri, insan tersayang dan lebih utama lagi Allah.

Perancangan membuktikan kita manusia yang ada matlamat. Namun, tidak semua perancangan kita menjadi. Kenalkah anda dengan perkataan yang cliche bagi sesiapa yang berbicara soal jodoh, iaitu lauh mahfuz? Sebagai penegasan, lauh mahfuz bukan sekadar kitab yang di dalamnya terdapat senarai nama-nama pasangan suami isteri sahaja. *angkat kening* Sahabat, sebanyak 16 kali disebut perihal lauh mahfuz di dalam al-Quran. Ditegaskan bahawa ianya adalah kitab yang nyata dan terpelihara oleh Allah swt. Di dalamnya terkandung segala aturan hidup manusia baik dari masa dahulunya, mahupun sekarang sehinggalah akan datang. Allah Maha Mengetahui.

Ada beberapa aturan yang langsung tidak boleh diubah. Ada juga aturan yang masih boleh diubah, bergantung pada doa seorang hamba dan penerimaan Yang Maha Kuasa.

Sahabat, kecewakah anda mengapa sesetengah perancangan anda menjadi, sedangkan selainnya tidak?

Allah adalah sebaik-baik Perancang. Janganlah kita menjadi hamba yang tidak berusaha dan mudah berserah segalanya kepada Allah sambil duduk bermurung menanti takdir berubah rupa. Kita harus menjadi hamba yang apabila ia jatuh kemudiannya ia bangun semula, apabila ia jatuh lagi kemudiannya ia tetap bangun semula dan terus melangkah. Dan sehinggalah tanpa ia sedar ia menapak kejayaan.

Ada perancangan manusia yang berselisih dengan jalan takdir Allah. Yang menyedihkan, perselisihan itu bersifat hampir namun tidak bersentuh. Maka, ramailah yang teramat kecewa dan mula menyalahkan takdir kerana terlalu kesal dengan "hampir-hampir" berjayanya itu.

Manusia tidak semua sama. Ujian manusia tidak semua sama. Ada orang diuji dengan wang yang banyak hingga dia lalai dengan dunia. Ada orang diuji dengan wang yang sedikit hingga dia sanggup mensyirikkan Allah. Kehilangan baik dari segi harta, nyawa, ilmu, iman dan sebagainya sememangnya akan membuat manusia sedih. Sesungguhnya, tiada yang kekal melainkan Allah.

Sahabat yang saya kasihi, pernahkah anda menangis?

Berapa ramai antara kita yang menangis dan terus menyekat airmatanya? Dan berapa ramai pula antara kita membiarkan ia terus mengalir?

Carilah hikmah yang tersembunyi di sebalik penciptaan airmata. Bayangkan seseorang yang terlalu sedih namun sayangnya tidak mampu menitiskan airmata seperti orang lain. Alangkah peritnya kepedihan yang terpaksa disimpan tanpa dapat dia menzahirkannya. Dan sahabat, bukankah telah Allah ciptakan kita teman-teman di sekeliling kita untuk mengingatkan kita akan beberapa perkara yang mungkin telah kita lupa dan mengurangkan kesakitan yang sedang kita alami? Jadilah seorang yang memudahkan orang lain dengan harapan semoga Allah memudahkan kita pula kelak.

Ketahuilah dalam banyak-banyak penyelesaian kepada taufan masalah kita, yang lebih utama adalah keupayaan kita untuk kembali semula kepada Allah. Basuhlah luka di hati anda dengan zikrullah. Ubatilah ia dengan ayat-ayat suci al-Quran.

Jangan biarkan diri kita terus lemas dalam kesedihan.

Yang menjadi kelemahan kita hari ini, adalah jarak yang telah kita cipta bersama al-Quran dan zikrullah. Itu belum lagi disentuh bab solat. Seringkali kita dengar...

..Ingatlah, dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram. Surah Ar-Ra'd:28

Wahai orang-orang yang beriman, mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar. Surah Al-Baqarah:153

Namun ilmu yang kita ada ini gagal untuk diamalkan. Tidak mengapa. Mungkin sebelum ini kita terlupa. Maka jadikanlah peringatan saat ini sebagai titik tolak dalam diri kita.

Carilah ketenangan saat bersendirian dengan Allah. Jauhi keserabutan yang tersimpul mati bagi membuka ruang pemikiran dan sepertimana dijelaskan sebelum ini iaitu, kembali semula kepada Allah. Sesungguhnya, bersama-Nya terdapat damai yang dicari, penyelesaian yang tersembunyi dan kasih sayang yang abadi.

Anda menjauh bukan untuk terus menghilangkan diri tetapi untuk memperbaiki diri. Supaya anda dapat memberi peluang kepada diri anda bermula semula dari bawah. Dan bila anda kembali anda akan lebih kuat untuk menghadapi ujian-ujian yang lain pula. MasyaAllah.

Tidak mengapa, setiap orang antara kita pernah gagal dalam berusaha, hilang sesuatu/seseorang dalam hidup, tetapi itu tidak bermakna kita gagal selamanya. Dan bagi mereka yang kehilangan keluarga dan sahabat tersayang, yakinlah akan pertemuan di sana. Bukankah negara akhirat itu adalah kekal? Mungkin perpisahan sementara di dunia ini dapat meningkatkan lagi keimanan dan menguatkan lagi ketaqwaan. Dan yakinlah sesuatu yang Allah ambil, sesungguhnya kerana ianya adalah milik-Nya. Kita sekadar meminjam sedikit rasa gembira bagi menemani hati kita yang sunyi. Sampai masa, segala-gala yang kita pinjam ini akan diambil semula. Allah Maha Mengetahui.

Sahabat yang saya kasihi, 
    Menangislah jika tangisan itu dapat meredakan kesedihan di hati tetapi janganlah menangis terlalu lama hingga anda menjadi seolah-olah tidak redha dengan ketentuan-Nya. Setelah puas menangis, kembalilah kepada ketenangan.

Semua orang mampu mendapat kebahagiaan. Berpandangan jauhlah akan hakikat kehidupan dan berlapanglah dada dalam menempuh cabaran-cabaran yang datang sebelum kejayaan. Yakinlah akan keabadiaan hidup di akhirat. Semailah benih-benih di dunia ini untuk dituai di sana.

Berdoalah tanpa henti. Dan berdoalah bermacam-macam perkara. Ada kalanya doa itu bukan tidak dimakbulkan, tetapi sengaja Allah ingin gantikan dengan yang lebih baik. Dan ada kalanya juga, ia belum termakbul, menanti masa yang terbaik. Dengan izin Allah.

Ambillah yang jernih dan buanglah yang keruh dari hasil penulisan saya. Semoga nukilan kali ini memberi makna buat mereka yang memerlukan pengisian bagi hati yang ketandusan pencerahan. Dengan harapan hati anda akan pulih seperti sedia kala, sepertimana saya harapkan hati saya akan sembuh juga. Segala puji bagi Allah. 

Saturday, March 16, 2013

Rakaat.

Azan berkumandang dalam hiruk-pikuk ruang sekeliling. 
Aku, dia dan mereka semuanya diam. 
Yang bersembang, diam.
Yang berlagu, diam.
Yang berjalan, berhenti.
Tanda hormat pada Tuhan. 
Kami takut mengundang murkaNya.
Sayup-sayup kedengaran laungan suci. 
Mengagung-agungkan Allah Yang Satu. 
Berlumba-lumba aku, dia dan mereka menyucikan diri sebelum kami berdiri di atas sejadah,
sebelum tubuh dibaluti harumnya kain putih. 
Kami ingin suci dan harum dalam pertemuan kali ini, Ya Tuhan. 

"Allahu akbar!"
Lembut tetapi tegas. 
Diam suasana bilik. 
Al-Fatihah memecah kesunyian ruang. 
Permohonan kami lafazkan sebutir demi sebutir.
Perlahan-lahan rentak bacaan bimbang kami tersalah lafaz.
Terserap semua maknanya ke dalam hati.
Merayu-rayu kami memohon petunjuk jalan yang lurus. 
Mana-mana satu surah suci yang kami ingat terus kami baca bersahaja.
Indahnya.
Lengkap dengan segala kata puji buatNya.
Ikhlas dari hati kami.


"Allahu akbar!"
Sujud kami di atas bentangan tikar. 
Alas lembut menyentuh dahi. 
Dari mula kami berdiri, rukuk, dan akhirnya sujud;
anggota kian tunduk, tunduk dan tunduk sehinggalah bersujud kami di atas lantai. 
Saat paling dekat kami dengan Tuhan. 
Hentikan seketika putaran masa.
Kami ingin lama lagi;
kerana tika ini terasa begitu hampir. 
Akal menghilang dalam terangnya cahaya. 
Dekat sekali. 
Benar, dekat sekali.

Dan kami duduk seketika. 
Kami mohon segala macam perkara. 
Ya Tuhan..
Ampuni kami.
Beri kami itu beri kami ini.

Dan...
Kami sujud lagi. 
Oh dekatnya kami dengan Dia. 
Bibir tiada henti memuji-muji Maha Suci Allah. 
Walau sudah tiada lafaz lagi, kami masih tidak ingin bangun. 
Kerana saat ini kami begitu hampir. 
Izinkan kami menikmati saat indah ini.
Kami tidak melihatMu tetapi kami yakin pada adanya Mu.
Ya Tuhan..kami lah hambaMu.
Kami datang menyembahMu.
Kami bahagia menghambakan diri padaMu. 
Kami tenang dalam pengabdian padaMu.
Istimewanya rakaat ini. 

"Allahu akbar!"
Kami bangun;
berdiri semula. 
Dan setiap rakaat kami itu adalah baharu. 
Dan semestinya, Teristimewa..

Friday, March 15, 2013

Takdir Hati

Tiada hijab antara aku dan Dia.
Deraian air mata membasahi pipi,
menjadi saksi cinta padaNya.
Aku masih berjalan
kerana ini jalan takdirku.

Aku berjalan dan terus berjalan. 
Ada ketika harus berlari. 
Letih. 
Sambil bahu memikul beban. 
Dan....aku kembali berjalan.

Bila terhenti di pesta keramaian;
aku berselindung. 
Ingin berjalan dalam terkurung.
Aku mengerti setiap jelingan.
Tersirat berbaris-baris ungkapan. 
Setelah penat meredah riuh, 
bertopengkan sembunyi; 
aku kembali berjalan.

Hari demi hari perkara sama aku lalui. 
Jika bernasib baik ada hari gembira saja; 
tanpa setitis air mata.
Seperti kaisnya pagi;
bertahan hingga ke petang.

Bagai terbit mentari di bumi salji,
senyuman manis ukiran di bibir.
Tika mendung menyelimuti langit, 
aku kembali memakai pakaian hiba.


Ada kala langkah tergelincir.
Seperti anak kecil baru bertatih.
Namun Dia tetap sabar.
Melayan kerenah hambaNya.


Tiada yang Maha Penyabar selain Allah.
Tiada yang Maha Pemaaf selain Allah. 
Tiada yang Maha Pengasih selain Allah. 
Hanya Maha Esa Allah.


Maaf, 
Hati ini dikunci mati kasihnya Allah. 
Dibuta mata cintanya Allah. 
Andai ada yang terbaki;
hanyalah cebisan-cebisan hadiah pada mereka.

Buat segelintir pendengar.
Luahan dilayan bagai seloka. 
Mereka terhibur, tertawa; 
atas titisan airmata insan. 
Diam.
Dengar.
Malaikat membalas kata-kata.

Hati,
Kau harus kuat.
Andai itu takdir ketentuanNya,
belajarlah untuk redha.
Sesungguhnya Allah bersama kita.




Sunday, January 13, 2013

Sometimes


Sometimes 
I feel lonely 
Sink deep into 
The corner of a dark room
They say keep counting
Yet no ones coming

Sometimes
I feel unwanted
Surround by hatred
Left by loved ones
They say stay here 
Yet no ones coming

Sometimes
I feel sad
I want to cry out loud
But I have no voice
They say dont make a sound
Or they pull the trigger

Sometimes
I feel like giving up
No! No! No!
Stop listening to them;
And so I kneel down
And I cry out loud!

The bullet is in
Long before I know
Oh god
Stay with me
This soon will end ..
This soon will end ..


Friday, January 4, 2013

Roh



(i)
Wahai roh yang tunduk pada rabb-nya
Terang tersuluh jalan ke mahligainya

Pilih saja mana pintunya
Roh masuk ke mana suka
Sederhananya roh di dunia
Di sana kelak roh kaya
Bertentangan mata kekasih Allah 
Roh diulik bidadari syurga
Tiada henti memuji rabb-nya
Sepertimana sebelum roh ke sana
Musafir tunduk di jalan berliku
Sujud menyembah tuhan yang satu
Tiada kenal erti jemu
Tiada kira apa waktu
Roh yakin tujuan yang satu


(ii)
Wahai roh yang dipapah setelah jatuh

Celik penglihatan tersuluh cahaya
Sepurnama roh membuta mata
Ajaibnya roh melihat semula
Roh genggam peluang yang ada
Bimbang peluang tak muncul lagi
Roh disergah dari tidur yang lama
Tangkas berjaga membenci lena
Roh mencari peneman yang setia
Memimpin tangan sewaktu buta
Roh ingin selama dengannya
Harapan roh hingga ke syurga
Roh berdiri ringan semula
Seperti dibersih roh dahulu
Kembali pelajari seperti anak kecil
Biar roh bodoh kemudian tahu
Daripada roh selamanya dungu


(iii)
Wahai roh yang dihembus ke dalam jasad

Tiada cacatnya tiada celanya
Saat roh diusik ribut
Layar kapal roh hilang arah
Sauhnya putus labuh ke dasar
Roh tenggelam di lautan dalam
Roh lupa asal usulnya
Roh lupa siapa penciptanya
Roh bangga dengan segala apa
Sedang roh jahil akan erti dosa
Tiada kenal mana hitam
Tiada kenal mana putih
Akal roh tumpul hati roh mati
Jasad roh kekal di dunia nyata
Namun roh hilang entah ke mana


(iv)
Wahai roh yang lalai dengan dunia

Rebah dengan ujian yang kecil
Tersungkur dengan godaan terlaknat 
Rebah di pasiran ketandusan rahmat
Roh lupa siapa tuhannya
Tiada kenal siapa rasulnya
Roh leka sangkanya seketika
Akhirnya menyesal tiada guna
Roh diragut tanpa syahadah
Bayangan azab melakar cerita
Perginya roh tiada tenang
Matinya roh tiada senang
Maaf wahai roh tiada boleh lagi pulang




FynMazhan