Sunday, July 1, 2012

Mari Memeluk Islam

Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahi rabbil 'alamin. Segala puji-pujian hanyalah bagi Allah swt yang hak. Sesungguhnya tiada tuhan melainkan Allah swt dan Nabi Muhammad saw adalah RasulNya.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih sebab sudi luangkan sedikit masa untuk baca penulisan saya pada kali ini. Semoga Allah swt permudahkan urusanmu mencari redhaNya. Amin.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Syukur ke atas limpah kurniaNya yang tidak terhingga. Jika dikumpulkan segala nikmat yang Allah pinjamkan kepada saya, masyaAllah tak terbalas rasanya. Apatah pula saat celik saja mata satu nikmat telah diberiNya. Alhamdulillah. Tidak semua yang bernasib baik mendapat nikmat ini. Namun, tidak kurang pula bagi yang tidak menghargainya. Apakah nikmat itu? Ianya suatu nikmat yang sangat ternilai, harus dijaga dan digenggam seeratnya biar jangan sampai terlepas. Ianya penyelamat, di saat kejatuhan ianya memberi sinar harapan. Itulah dia nikmat ISLAM.

Alhamdulillah celik-celik mata saja sudah bergelar ISLAM. Namun bagaimana dengan rakan-rakan kita yang lain? Apakah Allah tidak sayang kepada mereka lantas membiarkan sahaja mereka lahir di luar Islam? Tidak! Sama sekali tidak. MasyaAllah. Allah itu Maha Penyayang. Sayangnya Allah pada hambanya mengatasi sayangnya seorang ibu kepada anak kandungnya sendiri. Subhanallah.

"Setiap anak yang lahir adalah dalam fitrah. Dua ibu-bapanyalah yang menjadikannya yahudi atau nasrani atau majusi"

Itu salah satu buktinya kasihnya Allah pada hambanya seperti mana telah disebut dalam hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a di atas. Wallahua'lam.

Kalau sayang kenapa biar dilahirkan dalam keluarga bukan Islam? Subhanallah. Rakan-rakan yang saya kasihi, perancangan Allah itu sangat cantik. Zaman jahiliyah juga berakhir setelah datangnya Islam. Allah Maha Mengetahui. Allah tahu mana yang terbaik buat si anak tersebut semenjak dia dalam perut ibunya lagi. Lahirnya seorang bayi itu dalam agama fitrah, agama Islam. Namun ibubapanya lah yang mencorakkannya. Seorang bayi yang baru lahir teramatlah suci daripada dosa. Meskipun lahirnya dalam Islam, sejak bayi lagi dia bebas dari dosa. Semakin dia meningkat dewasa, bermulalah perhitungan dosa pahalanya.

Sesungguhnya, hidayah itu milik Allah swt. Ada saja orang Islam yang dikandungkan dalam perut seorang Muslimat tetapi setelah lahir dan dibesarkan, dia keluar daripada Islam dengan kerelaannya sendiri.

Jadi jangan persoalkan lagi perancangan Allah. Allah tahu kerja Allah. Kita buat kerja kita. Jadi hamba yang bertakwa dan terus menyebarkan dakwah Islam seluas-luasnya. Selebihnya serahkan kepada Allah. Kalau Allah nak bagi hidayah dekat kita, Allah akan bagi. Kalau Allah nak bagi hidayah kepada orang yang bukan Islam, pun Allah akan bagi. Segalanya adalah dengan izinNya. Terpulang kepada Allah untuk tentukan. Yang penting, kita terus berpegang kepada konsep DOA, USAHA, TAWAKKAL. InsyaAllah.

Dengan kesempatan yang ada ini, saya ingin menyeru rakan-rakan di luar sana, sama-samalah kita mencari redha Allah swt. Jangan terlalu bangga yang kita dah lahir dalam Islam, sedangkan kita tidak berperanan seperti seorang Islam. Masih banyak yang perlu diperbaiki. Termasuklah diri saya sendiri. InsyaAllah. Dan bagi yang bukan Islam di luar sana, niat saya bukan memaksa kerana dalam Islam tiada sebarang paksaan. Ambil lah seberapa banyak masa yang ada untuk mempelajari Islam. InsyaAllah. Tiada ruginya, rakan-rakan sepertimana yang disebut dalam hadis di bawah.


Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a :” Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:” Apabila seseorang memeluk agama Islam dengan ikhlas, Allah akan mengampunkan semua dosa-dosanya di masa lalu. Kemudian setelah itu mulai diadakan perhitungan, pahala untuk setiap perbuatan baik yang dilakukannya dilipat gandakan sepuluh sampai tujuh ratus kali ganda sedangkan setiap dosa yang dilakukannya akan dicatat sebanyak dosa yang dilakukannya kecuali apabila Allah mengampunkannya.”


Subhanallah. Seperti seorang bayi yang baru dilahirkan! Suci dari dosa. Malah setelah itu, apabila melakukan sesuatu kebaikan dilipat gandakan 10-700 kali ganda sedangkan apabila melakukan sesuatu dosa nilainya masih sama, tidak lebih tidak pula kurang. Nisbah 1:10-700.  MasyaAllah. Luasnya rahmat Allah swt.


Teruskan berdoa. Berdoa tidak terbatas mengikut bangsa, bahasa mahupun keturunan. Tadah kedua tangan, dan berdoalah dalam apa jua bahasa sekalipun. Tidak semestinya berwudhu' semata-mata. Tidak semestinya harus bertudung, bertelekung, atau atas sejadah untuk berdoa. Di mana jua kita boleh berdoa. Allah tak pandang luaran kita. Sebaliknya Allah swt lihat hati kita, keikhlasan kita. 

Janganlah ambil keburukan masyarakat Islam hari ini sebagai sekatan untuk memeluk Islam. Manusia tidak mampu lari melakukan kesilapan kerana manusia mudah terlupa. Masyarakat Islam hari ini juga tidak terkecuali dari sifat lahiriah tersebut. Namun, ketahuilah kasih sayang dan keampunan Allah swt mengatasi kemurkaanNya. Subhanallah. Berdoa, berdoa, berdoa dengan ikhlas. InsyaAllah.

Senyumlah. Padamlah segala api kebencian yang ada terhadap Islam kerana tidak kenal mana mungkin akan cinta. :)


Kalau sudah kenal, sudah cinta, pasti rasa ingin bersama buat selama-lamanya. Subhanallah. Indahnya nikmat ketenangan dalam Islam yang sejati.

Sehingga bertemu lagi di masa hadapan. Saya mohon maaf andai tersalah bicara. Yang baik dari Allah swt, dan buruk pastinya dari saya sendiri. Wallahua'lam. Wabillahi taufiq walhidayah. Wassalamualaikum warakmatullahi wabarakatuh. Fi amanillah.








Friday, June 29, 2012

Bukan Mudah Menjadi Aku

Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah di atas kesempatan yang diberiNya. Tiada mampu aku menulis di sini tanpa izinNya. Alhamdulillahi rabbil 'alamin. Alhamdulillah.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Semoga yang sedang membaca penulisan saya ini sihat-sihat belaka insyaAllah.

Saya hanyalah seorang hamba Allah yang masih penuh dengan kelemahan. InsyaAllah, saya belajar satu per satu dari kesilapan saya agar dipermudahkan urusan saya duniawi mahupun ukhrawi. Saya bukanlah seorang yang hebat dari segi agamanya apatah pula akhlaknya. Saya juga pernah melakukan kesilapan yang ada kalanya membuat saya sukar untuk memaafkan diri saya sendiri. Allahu, lemah semangat diri setiap kali mengenangkan dosa-dosa silam. Astaghfirullahal'azim. Hinanya diri ini sebagai umat Rasulullah saw. Terasa tidak layak untuk bersemuka dengan sesiapa pun lagi. Allahu.. Namun, hendaklah sama-sama kita ingat bahawa proses kemaafan bermula dengan memaafkan diri sendiri terlebih dahulu.

Alhamdulillahi rabbil 'alamin. Tanpa diduga, dalam kesulitan itu saya temui kekuatan. Dan sesungguhnya, tiada mampu bagi saya mendapatinya tanpa izin dan redha Allah swt. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.

Bila terdetik di hati ini untuk berubah, terasa seakan-akan dipimpin tangan dan bahu ini setelah jatuh tersungkur. Biarpun ianya sakit, Alhamdulillah terubat juga akhirnya.

Saya menulis di sini bukan untuk mencari nama. Sebaliknya, sekadar berkongsi rasa cinta yang tidak terhingga kepada Maha Pencipta dan Maha Pengampun.

Suka cita ingin saya kongsikan kedamaian hati yang tak mungkin dapat saya kecapi tanpa izinNya. Ada yang bertanya mengapa dicari damai ini? Alhamdulillah, mungkin sudah serik menyeksa diri dengan timbunan dosa, lantas tergerak hati untuk menyegerakan bertaubat kepadaNya.

Ada ketikanya kesabaran saya sering diduga. Dicaci dimaki itu perkara biasa. Dilabelkan sebagai 'bajet alim' 'bajet ustazah' itu juga perkara biasa. Saya redha akan kelakuan mereka ini terhadap saya. Malah saya berterima kasih kepada mereka kerana mengingatkan saya bahawa saya bukan seorang yang sempurna dan sering kali melakukan kesilapan juga. Alhamdulillah.

Jangan bersedih hati bagi mereka yang ditimpa musibah. Carilah kekuatan dari kelemahan itu. Bagi mengubat hati yang berduka, ingatlah petikan ayat ini walau di mana jua kalian berada. Allah berfirman kepada Malaikat Jibril, "Pergilah kepada hambaKu lalu timpakanlah berbagai ujian kepadanya kerana Aku ingin mendengar rintihannya".

Allahu Akbar. Betapanya Allah sayangkan kita Allah ingin kita sentiasa dekat dengannya. Namun hakikatnya? Kita sering kali menjauhkan diri daripadaNya. Kita membuatNya murka. Astaghfirullahal'azim. Malu rasa diri ini kepadaNya yang telah menciptakan diri ini hingga diberikan segala keperluan sedangkan tidak bersyukur kerana tidak dipenuhi kehendak yang lain.

Dan kita apabila ditimpa ujian sering kali merungut. Apabila dilanda sedikit masalah, seringkali membiarkan marah menguasai diri. Termasuklah diri saya sendiri. Oleh itu, saya harus belajar bersabar. Dari siapa? Dari Yang Maha Penyabar. Sepertimana dipetik dari hadis riwayat Muslim; Dari Abdullah bin Qais r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda: "Tidak ada yang lebih sabar mendengar ejekan, selain daripada Allah swt. Orang-orang kafir mengatakanNya berbilang (banyak atau bersekutu), atau mereka mengangkat anak bagiNya. Namun begitu Allah Taala tetap memberi mereka rezeki, memaafkan mereka dan memberikan apa yang mereka pinta".

Kita lihat ramai orang kafir yang hidupnya kaya-raya. Namun, dari siapa datangnya semua itu? Dengan kesempatan yang ada ini, bagi kita yang sedar dari mana datangnya kesenangan hidup kita sewajarnya kita bersyukur kepada Allah swt. Allah dah bagi, terima, jangan bersungut, jangan pula melawanNya. Ingatlah, bila-bila sahaja Allah boleh menarik nikmat pemberianNya. Wallahua'lam.

Berbalik kepada tajuk saya "Bukan Mudah Menjadi Aku" sebenarnya ianya suatu tajuk yang universal. Bukan untuk bermegah diri dan bukan pula untuk meraih simpati. Setiap kita punya kesusahan kerana setiap kita ditimpa ujian yang berbeza-beza, dengan izinNya.

Masih banyak yang harus saya pelajari dalam mendalami ilmu agama ini. Namun, berkat doa setiap insan yang mungkin ada antaranya mendoakan saya dalam sembunyi, Alhamdulillah terima kasih sangat-sangat. Semoga Allah swt membalas jasa kalian.

Bagi yang dahulunya pernah bermusuh dengan saya, saya mohon beribu kemaafan. Andai ingin menuntutnya, tuntutlah sekarang sementara saya masih hidup di dunia ini kerana apabila melangkah alam akhirat, saya berharap sangat saya tidak ada terhutang apa-apa dosa mahupun wang ringgit dengan sesiapa. Wallahua'lam.

Terima kasih bagi yang sudi membaca post saya kali ini hingga habis. Alhamdulillah. Dakaplah Islam seerat-eratnya agar hidup dan matimu selamanya dalam Islam. InsyaAllah. Andai kata kau terjatuh, bangun semula, jatuh lagi, bangun lagi, jangan pernah berhenti. Ingatlah, kita bukan diuji sehari dua sahaja tetapi buat selama mana hidup kita di dunia ini. Dan ingat, jangan sesekali berputus asa dengan rahmat Allah swt. DOA itu senjata orang mukmin. Wallahua'lam. Kenang daku dalam do'amu. Wabillahi taufiq walhidayah. Wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Sambutlah salamku. Alhamdulillah.