Monday, July 29, 2013

Tidak mengapa bersedih.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sahabat yang saya kasihi, diharapkan anda sihat sahaja insyaAllah. Alhamdulillah Allah masih memberikan kita nafas dan kekuatan untuk beribadah di bulan Ramadhan ini. Siapa tahu mungkin tersembunyi beribu-ribu hikmah untuk anda dan juga saya pada bulan mulia kali ini? Senyum.

Sahabat yang saya kasihi, apa khabar iman anda hari ini? Pagi anda bermula dengan subuh yang baik kah? Sudahkah anda memuji-muji Pencipta kita? Sudahkah anda berselawat ke atas junjungan besar kita?

Sahabat yang saya kasihi, apa khabar pula hati anda hari ini? Sedang berlonjak kegembiraankah ia? Sedang menangis kesedihankah ia? Atau...sudah hilang dalam kekeliruankah ia?

Hati. Seketul daging yang punya bermacam ragam membuat empunya diri galau akan sifatnya yang mudah berubah-ubah.

Ada ketikanya hati ini mampu bersabar, ada ketikanya kesabarannya lesap tiba-tiba.
Ada ketikanya hati ini lembut dan ada ketikanya ia keras.
Ada ketikanya hati ini sangat tawadhu' dan ada ketikanya ia menjadi sombong lagi angkuh.

“Dan Kami bolak-balikkan hati mereka dan penglihatan mereka.” Surah Al-An’am: 110

Sahabat yang saya kasihi, kali ini saya ingin menyentuh perihal hati yang bersedih. Hati yang terlalu sensitif sehingga mudah-mudah saja dicuit oleh badai ujian. Bukan kerana hati manusia hanya kenal erti kesedihan semata-mata namun....mungkin kerana inilah perihal yang lebih dekat akan saya, yang lebih akrab dengan saya, yang lebih sebati dalam diri saya untuk lebih mudah saya bicarakan. Boleh jadi ia sesuatu kelemahan yang menjauhkan seseorang daripada Allah. Walaubagaimanapun, bagi yang bijak mencari hikmahnya, ia menjadi suatu punca untuk dirinya lebih dekat kepada Allah.

Manusia memang suka merancang. 'Perancangan' kita boleh saja menjadi perisai kalau-kalau kita diserang, keselesaan pada masa akan datang, dan boleh saja ianya menjadi sedekah untuk dikongsi bersama-sama. Terpulang kepada sahabat sekalian menafsirnya sendiri.

Sahabat, semua perancangan kita semestinya dalam satu tujuan iaitu mencari kebahagiaan. Seperti ibubapa yang mula merancang masa depan anak-anak mereka. Seperti pelajar yang mula memasang angan-angan ingin ke mana. Seperti orang tua yang masih berusaha keras mengumpul wang simpanan untuk melaksanakan rukun Islam kelima. Semuanya ingin bahagia, biarpun demi diri sendiri, insan tersayang dan lebih utama lagi Allah.

Perancangan membuktikan kita manusia yang ada matlamat. Namun, tidak semua perancangan kita menjadi. Kenalkah anda dengan perkataan yang cliche bagi sesiapa yang berbicara soal jodoh, iaitu lauh mahfuz? Sebagai penegasan, lauh mahfuz bukan sekadar kitab yang di dalamnya terdapat senarai nama-nama pasangan suami isteri sahaja. *angkat kening* Sahabat, sebanyak 16 kali disebut perihal lauh mahfuz di dalam al-Quran. Ditegaskan bahawa ianya adalah kitab yang nyata dan terpelihara oleh Allah swt. Di dalamnya terkandung segala aturan hidup manusia baik dari masa dahulunya, mahupun sekarang sehinggalah akan datang. Allah Maha Mengetahui.

Ada beberapa aturan yang langsung tidak boleh diubah. Ada juga aturan yang masih boleh diubah, bergantung pada doa seorang hamba dan penerimaan Yang Maha Kuasa.

Sahabat, kecewakah anda mengapa sesetengah perancangan anda menjadi, sedangkan selainnya tidak?

Allah adalah sebaik-baik Perancang. Janganlah kita menjadi hamba yang tidak berusaha dan mudah berserah segalanya kepada Allah sambil duduk bermurung menanti takdir berubah rupa. Kita harus menjadi hamba yang apabila ia jatuh kemudiannya ia bangun semula, apabila ia jatuh lagi kemudiannya ia tetap bangun semula dan terus melangkah. Dan sehinggalah tanpa ia sedar ia menapak kejayaan.

Ada perancangan manusia yang berselisih dengan jalan takdir Allah. Yang menyedihkan, perselisihan itu bersifat hampir namun tidak bersentuh. Maka, ramailah yang teramat kecewa dan mula menyalahkan takdir kerana terlalu kesal dengan "hampir-hampir" berjayanya itu.

Manusia tidak semua sama. Ujian manusia tidak semua sama. Ada orang diuji dengan wang yang banyak hingga dia lalai dengan dunia. Ada orang diuji dengan wang yang sedikit hingga dia sanggup mensyirikkan Allah. Kehilangan baik dari segi harta, nyawa, ilmu, iman dan sebagainya sememangnya akan membuat manusia sedih. Sesungguhnya, tiada yang kekal melainkan Allah.

Sahabat yang saya kasihi, pernahkah anda menangis?

Berapa ramai antara kita yang menangis dan terus menyekat airmatanya? Dan berapa ramai pula antara kita membiarkan ia terus mengalir?

Carilah hikmah yang tersembunyi di sebalik penciptaan airmata. Bayangkan seseorang yang terlalu sedih namun sayangnya tidak mampu menitiskan airmata seperti orang lain. Alangkah peritnya kepedihan yang terpaksa disimpan tanpa dapat dia menzahirkannya. Dan sahabat, bukankah telah Allah ciptakan kita teman-teman di sekeliling kita untuk mengingatkan kita akan beberapa perkara yang mungkin telah kita lupa dan mengurangkan kesakitan yang sedang kita alami? Jadilah seorang yang memudahkan orang lain dengan harapan semoga Allah memudahkan kita pula kelak.

Ketahuilah dalam banyak-banyak penyelesaian kepada taufan masalah kita, yang lebih utama adalah keupayaan kita untuk kembali semula kepada Allah. Basuhlah luka di hati anda dengan zikrullah. Ubatilah ia dengan ayat-ayat suci al-Quran.

Jangan biarkan diri kita terus lemas dalam kesedihan.

Yang menjadi kelemahan kita hari ini, adalah jarak yang telah kita cipta bersama al-Quran dan zikrullah. Itu belum lagi disentuh bab solat. Seringkali kita dengar...

..Ingatlah, dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram. Surah Ar-Ra'd:28

Wahai orang-orang yang beriman, mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar. Surah Al-Baqarah:153

Namun ilmu yang kita ada ini gagal untuk diamalkan. Tidak mengapa. Mungkin sebelum ini kita terlupa. Maka jadikanlah peringatan saat ini sebagai titik tolak dalam diri kita.

Carilah ketenangan saat bersendirian dengan Allah. Jauhi keserabutan yang tersimpul mati bagi membuka ruang pemikiran dan sepertimana dijelaskan sebelum ini iaitu, kembali semula kepada Allah. Sesungguhnya, bersama-Nya terdapat damai yang dicari, penyelesaian yang tersembunyi dan kasih sayang yang abadi.

Anda menjauh bukan untuk terus menghilangkan diri tetapi untuk memperbaiki diri. Supaya anda dapat memberi peluang kepada diri anda bermula semula dari bawah. Dan bila anda kembali anda akan lebih kuat untuk menghadapi ujian-ujian yang lain pula. MasyaAllah.

Tidak mengapa, setiap orang antara kita pernah gagal dalam berusaha, hilang sesuatu/seseorang dalam hidup, tetapi itu tidak bermakna kita gagal selamanya. Dan bagi mereka yang kehilangan keluarga dan sahabat tersayang, yakinlah akan pertemuan di sana. Bukankah negara akhirat itu adalah kekal? Mungkin perpisahan sementara di dunia ini dapat meningkatkan lagi keimanan dan menguatkan lagi ketaqwaan. Dan yakinlah sesuatu yang Allah ambil, sesungguhnya kerana ianya adalah milik-Nya. Kita sekadar meminjam sedikit rasa gembira bagi menemani hati kita yang sunyi. Sampai masa, segala-gala yang kita pinjam ini akan diambil semula. Allah Maha Mengetahui.

Sahabat yang saya kasihi, 
    Menangislah jika tangisan itu dapat meredakan kesedihan di hati tetapi janganlah menangis terlalu lama hingga anda menjadi seolah-olah tidak redha dengan ketentuan-Nya. Setelah puas menangis, kembalilah kepada ketenangan.

Semua orang mampu mendapat kebahagiaan. Berpandangan jauhlah akan hakikat kehidupan dan berlapanglah dada dalam menempuh cabaran-cabaran yang datang sebelum kejayaan. Yakinlah akan keabadiaan hidup di akhirat. Semailah benih-benih di dunia ini untuk dituai di sana.

Berdoalah tanpa henti. Dan berdoalah bermacam-macam perkara. Ada kalanya doa itu bukan tidak dimakbulkan, tetapi sengaja Allah ingin gantikan dengan yang lebih baik. Dan ada kalanya juga, ia belum termakbul, menanti masa yang terbaik. Dengan izin Allah.

Ambillah yang jernih dan buanglah yang keruh dari hasil penulisan saya. Semoga nukilan kali ini memberi makna buat mereka yang memerlukan pengisian bagi hati yang ketandusan pencerahan. Dengan harapan hati anda akan pulih seperti sedia kala, sepertimana saya harapkan hati saya akan sembuh juga. Segala puji bagi Allah.